Thursday, 18 August 2011

Ziarah Bakti Ramadhan: 11 adik-beradik yatim piatu diberi bantuan


Niat sememangnya mahu bersama ibu dan ayah menyambut bulan Ramadhan, namun apakan daya segalanya punah dan terpaksa menyara hidup 10 adik-beradiknya yang lain. Inilah nasib yang menimpa pelajar Politeknik Muadzam Shah, Mohd Khairul Mat Amin, 22, yang kehilangan ayah tercinta pada hari ke-4 umat Islam menyambut Ramadhan sedangkan ketika itu mereka masih terasa pemergian ibu tercinta enam tahun lalu.


Prof. Dr. Yahaya Bin Ibrahim selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) bersama Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT &  pegawai Pusat Islam UMT berbual bersama Mohd Khairul
Atas keprihatinan dan rasa tanggungjawab, tanggal 12 Ogos 2011, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT bersama bahagian kebajikan pelajar di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menziarahi sebuah rumah yang didiami 11 orang adik-beradik yatim piatu dan menyerahkan sumbangan kepada pelajar Norfadilah Binti Mat Amin yang kematian ayah pada minggu lepas akibat serangan jantung di Kampong Paya Keladan ,Termeloh,Pahang. 

 
Penyerahan sumbangan ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Prof. Dr. Yahaya Bin Ibrahim selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar(HEPA), Ustaz Razi Bin Yaakob yang merupakan Ketua Pusat Islam UMT, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Muhammad Sufi Bin Iberahim Shah serta 3 orang pegawai Pusat Islam UMT, 5 orang Exco MPP dan 7 orang seketeriat MPP. Salah seorang anak yatim ini adalah merupakan pelajar jurusan Kaunseling Tahun 3 di Universiti Malaysia Terengganu Kaunseling yang juga merupakan kakak sulung iaitu Norfadilah Binti Mat Amin, 23 dan seorang lagi adiknya belajar di Kolej Shahputra. Mohd Khairul berkata, lima adiknya masih bersekolah menengah, tiga di sekolah rendah. 


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi juga turut serta melawat keluarga Norfadilah


Norfadilah Binti Mat Amin kehilangan ayahnya Mat Amin Jusoh, 55 akibat sakit jantung pada minggu lepas selepas kematian ibunya kira-kira 6 tahun yang lalu. Kisah Norfadilah  Binti Mat Amin telah mendapat liputan oleh media cetak dan media elektronik berikutan terpaksa menanggung kehidupan 10 orang adiknya setelah kehilangan tempat bergantung. Kini adik keduanya,Mohd Khairul, 22 bertangungjawab untuk memikul peranan sebagai ketua keluarga serta menyara keluarganya.


Datuk Saifuddin Abdullah bertanyakan soalan kepada
           Wakil Jabatan Kebajikan.

Mohd Khairul yang merupakan anak kedua daripada 11 adik-beradik malang  berkata kini mereka betul-betul mengharapkan bantuan dan sumbangan ramai selepas bapa mereka, meninggal dunia 

“Minggu lepas, satu lagi dugaan menimpa kami adik-beradik apabila ayah pergi buat selama-lamanya akibat sakit jantung. Jika selama ini, arwah ayah yang terpaksa membanting tulang dengan bekerja kampung semata-mata mahu menyara kami adik-beradiknya yang ramai ,namun kini kami telah hilang tempat mengadu dan bergantung segala-galanya selama ini,” 

Rombongan UMT telah tiba pada jam 2.30 petang yang diketuai oleh TNC HEPA, Prof. Dr. Yahaya Bin Ibrahim. Beliau telah hadir bagi menyelami perasaan pelajar serta adik-beradik tersebut. TNC HEPA turut  bertanyakan khabar serta memberikan semangat dan kata-kata perangsang kepada 11 adik-beradik ini bagi meneruskan cabaran yang bakal mendatang.


Selain itu, pihak UMT telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM 1000,  sumbangan daripada tabung zakat pelajar sebanyak RM 200 dan tabung khairat kematian RM 200. Selain itu, hamper serta barang-barang keperluan asas seperti beras,gula,minyak turut disumbangkan kepada Norfadilah. Sumbangan diserahkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Saifuddin Abdullah dirumah pelajar terbabit.

Penyerahan sumbangan oleh Dato' Saifuddin Abdullah




TNC HEPA menyerahkan sumbangan



Pertemuan ini merupakan satu titik ukhuwah diantara pemimpin bersama rakyat, malahan, keprihatinan ini bukan sekadar untuk retorik luaran semata-mata namun berharap dapat menarik keprihatinan rakyat Malaysia juga dalam membantu meringankan kesusahan dan penderitaan orang lain. 


Barisan MPP UMT bergambar bersama-sama Norfadilah dan adik beradiknya



Pegawai Pusat Islam bergambar  bersama
               keluarga Norfadilah


Sesungguhnya, sumbangan ini hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan hakikat kepayahan yang bakal dialami oleh keluarga ini dalam meniti hari mendatang. Realitinya, untuk meneruskan kelangsungan hidup, keluarga ini memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk menampung pembelanjaan dapur dan RM150 bagi membiayai persekolahan bagi setiap bulan. Namun begitu, keluarga ini masih mengharapkan simpati dan ihsan banyak pihak dalam memastikan kebajikan adik-beradiknya terbela. 

Kepada mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada 11 adik-beradik ini bolehlah berhubung dengan Mohd Khairul Mat Amin di talian 013-2360455 atau terus melalui akaun BSN 06400-29-00005700-2.

"PENCETUS PERUBAHAN KE ARAH KEGEMILANGAN"