Friday 28 October 2011

Matlamat Organisasi: Berpesta dengan Timbunan Program atau …..?


Semasa sebelum saya menjadi MPP, saya sejujurnya sering disogokkan dengan kata-kata MPP perlu mempersiapkan dan memperbanyakkan program-program ‘grand’ atau besar-besaran untuk universiti dan pelajar agar dapat meningkatkan populariti universiti. Namun, polisi MPP pada sesi ini yang telah dipersetujui bersama iaitu dasar mengurangkan program. Namun, nampaknya kebanyakan pelajar dan ada suara-suara pihak pengurusan universiti seperti tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan dasar ini apabila MPP mengurangkan aktiviti membuat program dan jika buat sekalipun hanya program universiti. Mereka seolah-olah tidak faham mengapa keputusan ini diambil.

Hal ini kerana telah menjadi trend di kalangan persatuan di kampus dalam memperbanyakan program, kononnya untuk menandingi prestasi sesi yang sebelumnya. Dengan program yang banyak, laporan tahunan pastinya akan panjang dan tebal apabila penuh dengan minit mesyuarat tahunan, maka boleh berdabik dada mengatakan sesi sekarang sudah melakukan yang terbaik daripada sesi yang sebelumnya. Trend ini telah berkembang dikebanyakan universiti dalam beberapa tahun sehingga satu organisasi ini dihinggapi dengan sindrom “Kerja banyak, habuk pun tadak.

Apabila persatuan berlumba-lumba mahu membuat program, maka banyaklah sumber pelajar yang diperlukan. Seorang pelajar terpaksa menjadi komiti bagi tiga hingga lima program dalam satu-satu masa. Setiap malam perlu menghadiri mesyuarat, perbincangan, pembentangan, dan macam-macam lagi. Akhirnya, pelajar menjadi terbeban dan penat. Pada masa yang sama, terlalu banyak program dianjurkan di kampus. Dalam seminggu ada dua tiga konsert dianjurkan, pelbagai forum dan ceramah yang sudah jadi seperti nasi dan air. Ini bakal menjadikan pelajar mula muak dan bosan. Kesannya, tiada siapa yang mahu melibatkan diri dalam program tersebut. Situasi ini bukan sekali berlaku, namun acapkali terjadi tetapi mungkin tidak ramai yang perasan. Masing-masing telah terlalu sibuk dan tekun menjayakan tiga empat program yang dirancangkan. Sehinggakan ada yang menganjurkan program yang telah diadakan beberapa hari sebelumnya. Kebanyakannya beranggapan bahawa program adalah satu cara terbaik untuk mencapai objektif persatuan masing-masing, namun hakikatnya tiada satu matlamat organisasi yang tercapai pada akhir sesi kepimpinan sebaliknya hanya menghasilkan penat dan pembaziran wang.

Sepatutnya kita sebagai pelajar harus sedar bahawa pengurusan organisasi perlulah berpandukan matlamat dan objektif tetapi kebanyakan tidak sedar sebenarnya telah gagal menguruskan organisasi berdasarkan objektif. Setiap persatuan atau mana-mana organisasi harus bijak membezakan antara hasil dan kerja, antara program dan matlamat organisasi, sebaliknya bukannya sibuk dengan kerja dan tugasan sehingga lupa matlamat dan hasilnya.

Jadi disini saya ingin mengajak sahabat pelajar sekalian melihat matlamat penubuhan kelab dan persatuan masing-masing. Termasuklah juga matlamat kami sebagai MPP ditubuhkan di kampus adalah untuk memberi penekanan kepada kerja-kerja kebajikan dan menyuarakan suara pelajar kepada pihak universiti dan kerajaan. Dewan Parlimen Mahasiswa (Dewan Persidangan Pelajar; DPP) dan Speaker Corner adalah antara matlamat utama kami. Seiring dengan moto kami “Pencetus Perubahan Kearah Kegemilangan’’, kami mungkin bukanlah pemimpin yang sedia ada untuk mencapai kegemilangan yang diharapkan namun paling tidak kami cuba yang terbaik dalam menjadi PENCETUS kepada satu PERUBAHAN yang kebanyakan orang ‘tidak biasa’ dengan corak perubahan ini sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati bagi sesetengah pihak. Bagi kami, definisi ‘tidak biasa’ ini wujud apabila tidak mahu mencuba sesuatu yang baru kerana telah selesa atau terbiasa dengan perkara yang sedia ada. Sebaliknya kami cuba untuk menjadi ‘tapak’ agar mempermudahkan perjuangan sesi akan datang untuk menerajui matlamat asal MPP ditubuhkan di kampus sekaligus merealisasikan definisi dasar hala tuju 5 tahun MPP UMT.

Barisan MPP dibawah lembayung kepimpinan Presiden Muhammad Sufi bin Iberahim Shah ini, sedang dalam usaha memperbaiki sistem aduan dan tindakan aduan. Kami juga sedang menghapuskan jurang komunikasi antara pelajar dan persatuan dengan memastikan ada mesyuarat dan perbincangan dua hala dengan Majlis Kolej Kediaman(MKK), Angkatan Anak Seni (AKASIA), Majlis Sukan Pelajar (MSP), presiden kelab sosial dan eksekutif, malah telah mewujudkan Majlis Akademik Pelajar (MAP) dan Jawatankuasa Pelajar Luar Kampus (JPLK). Terdapat juga dikalangan MPP telah memperkasakan usaha sama dengan pihak MKK bagi merealisasikan hasrat menerajui kolej kediaman agar sama-sama sepakat dalam membantu membawa kebajikan mahasiswa pada tahap yang baik tanpa menimbulkan isu perebutan kuasa atau takhta yang hanya membuang masa dan merugikan. Selain itu, MPP juga telah menetapkan dasar mempertingkatkan aset daya saing MPP seperti penyediaan PA Mobile, Set Codeless Microphone, Pembesar suara dan juga papan putih. Aset ini dijana bukan untuk kegunaan MPP semata-mata tetapi juga bagi memudahkan urusan peminjaman pelajar sekiranya terdapat permasalahan peminjaman dengan pihak pengurusan.

Kemahiran interpersonal dan mengendalikan konflik dipertingkatkan. Sistem penyampaian kami cuba perkemaskan dengan mewujudkan Blog MPP, laman sosial Facebook Bicara Mahasiswa UMT’ dan juga yang terbaru buletin MPPTV serta mempertingkatkan penulisan akhbar Samudera UMT dari semasa ke semasa. Walaupun tidak dinafikan bahawa kami tidak mampu untuk menampakkan kesannya pada masa singkat, namun kami percaya dengan kesatuan semua pelajar, beberapa tahun akan datang, semua persatuan dan kelab pelajar di UMT pasti dapat menunjukkan prestasi yang baik dan melakukan ‘tugas utama’ mereka.

Justifikasinya, dalam menerajui kepimpinan kami yang berbaki beberapa hari lagi ini, pelbagai usaha yang jelas atau tidak jelas adalah masih bergantung kepada kepimpinan perwakilan kelab dan persatuan di kampus. Kami tetap berharap agar mendapat kerjasama yang terbaik daripada setiap perwakilan persatuan agar segala urusan dapat sama-sama kita pertanggungjawabkan dengan amanah bukan amarah agar matlamat Siswa Lestariversiti (Melestarikan Mahasiswa Berintelektual) dapat tercapai dengan jayanya bukan hanya pada sesi ini tetapi berkesinambungan untuk sesi-sesi yang akan datang. Insya-Allah.

“PENCETUS PERUBAHAN KEARAH KEGEMILANGAN’’

Bersuara Demi Kebenaran,
Norzulaiqha Binti Zulkifli
Timbalan Presiden Majlis
Perwakilan Pelajar Sesi 2011/2012 UMT

No comments: